HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Sastera Kita
2008/06/02
Oleh MOHD ZAKI M NOOR

(Dari Arkib AKAR: dipetik dari Suara Kampus Edisi Johor-SUKEJ, bil.106, 2005)

Saya mengikuti seminar penulisan Kem Latihan Penulis (KELAP) di Rumah Johor pada 27 Mac yang lalu, dan berpeluang melihat pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan mahasiwa dan mahasiswi kita. Tentunya banyak perkara yang boleh dan mampu disentuh, tetapi ingin mengulas kepada beberapa perkara tertentu sahaja.

Sastera kita, di manakah dia?

Saya tidak pasti sejauh manakah kita faham dengan sastera, dan saya sendiri tidak mengatakan bahawa saya sangat arif dalam bidang sastera. Tetapi bagi yang mengikuti perkembangan seminar tersebut mungkin boleh membayangkan serba sedikit tentang sastera, lebih-lebih lagi apabila ia difokuskan secara lumat kepada pembikinan cerpen. Adakah mereka boleh membikin sebuah cerpen atau meminatinya, saya tidak tahu.

Saya tertarik untuk mengulas perkara ini, lantaran menyedari betapa jahilnya sebahagian kita tentang hakikat cerpen. Cerpen bukanlah lapangan untuk melepaskan perasaan sepertimana yang dimajhuli sebahagian kita, dan cerpen bukanlah semata-mata kisah cinta.

Cerpen yang baik sama seperti sebuah artikel ilmiah yang baik. Cerpen yang baik mempunyai sokongan ilmu bantu yang digarap bersama-sama cerita. Cerpen yang baik mengandungi mesej yang berkesan kepada khalayak pembaca, dan dapat menimbulkan kesedaran. Cerpen yang baik menyampaikan perkataan-perkataan baru kepada pembaca, juga menambah thaqafah dalam perbendaharaan dan penguasaan bahasa ibunda.

Bacalah karya-karya agung milik penulis dan sasterawan kita di Malaysia, dan anda akan menyedari bahawa seorang cerpenis juga mempunyai kekuatan sebagai agen penyedar kepada anak bangsa.Cerpen yang bermutu menjadi medan penyampaian ilmu dan thaqafah dalam bentuk yang kreatif – ada watak, ada latar masa, ada latar tempat, ada jalinan plot, ada rangsangan, ada konflik, ada peleraian dan ada kesudahan.

Sesiapa juga gemar membaca cerita, dan cerita yang baik perlu kepada mesej yang baik. Agamawan @azhari @daie tidak perlu lari dari mengetahui sedikit sebanyak kisah sejarah supaya dapat dihikayatkan kepada mad’u (orang yang diseru). Kenapa? Khalayak pembaca meminati cerita, dan cerita juga mempunyai khalayak dan penggemarnya. Mengapa tidak cerpen?

Cerpen kita adalah cerpen berunsur agama. Cerpen berunsur Islam. Garapan ilmu bantu berbentuk thaqafah Islam amat kurang lantaran agamawan kurang arif menulis cerpen. Cerpen ada khalayaknya yang tersendiri, dan khalayak ini perlu diraikan. Banyak cerpen yang tersiar di tanahair kurang berkisar dengan tema agama. Ini berpunca kerana kebanyakan mereka kurang thaqafah dalam bidang itu, dan seharusnya kita yang meladeni thaqafah Islamiahlah yang merebut peluang ini. Menulis kerana Islam, bukankah itu satu tujuan yang mulia?

Sastera kita, di manakah dia?

Walaupun cerpen cuma berputar dalam satu tema, malah perlu digabungjalin dengan babakan peristiwa, digerakkan dengan rangsangan, namun ia cukup padu kerana berjaya memberi kesan. Lihat bagaimana seorang pemuda yang memilih untuk mempertahankan iman daripada memilih untuk mempertahankan cinta dalam cerpen ‘Cinta Sufiah’ karya Akhi Masrawi. Lihat ulasan Nazmi Yaakob tentang qarin dalam cerpen ‘Sufiyyah dan Ruhiyyah Dalam Ramadhan.’ Atau kaji ‘Perjalanan Satu Merpati Baqi’ karya Faisal Tehrani.

Cerpenis-cerpenis kita kebanyakannya tidak menekankan soal babakan. Ada di antara mereka lebih leka dan khayal dengan suara hati sendiri hingga tidak dapat membezakan di antara cerpen dan bingkisan. Cerpen mewajibkan kewujudan watak yang bergerak di satu latar tempat dan di satu latar masa, malangnya dicanai menjadi lolongan suara hati semata-mata. Itu bukanlah cerpen, dan itulah yang kunci silap faham kita selama ini.

Lumati ‘Nenek Negro di Kota Mekah’ karya Faisal Tehrani, dan anda akan melihat sendiri bagaimana cerita itu bergerak dan berjalan di atas latar yang dilakarkan. Saya tidak menafikan berlaku monolog dalaman berbentuk luahan dan suara hati, namun ia tidak mendominasi hingga ke 70 peratus penceritaan, sebagaimana dilakukan oleh segelintir cerpenis kita. Andai ia digarap dalam bentuk monolog dalaman sekalipun, monolohg itu masih menekankan perihal watak dan babakan peristiwa.

Saudara Amiza Khusyri juga pernah menggunakan teknik monolog dalaman dalam ceritanya. Perhatikan ‘Sukma Seorang Ibu’ – ia adalah penceritaan secara monolog dalaman. Tetapi apa yang membezakannya (daripada disalahanggap menjadi bingkisan) adalah penekanan kewujudan watak dan memperkemas babak peristiwa. Bukan monolog dan itulah segalanya.

Sastera kita, di manakah dia?

Sastera bukan suatu yang sia-sia, seperti dakwaan segelintir kita. Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW juga amat menggemari sastera zaman Baginda, dan Baginda pernah meminta supaya ia diperdengarkan. Saidina Umar al-Khattab pernah menyebut : Syair itu ilmu suatu kaum, tidak ada suatu ilmu yang lebih benar daripadanya. Tatkala Umar menasihati anaknya, Abd Rahman beliau berkata: Peliharalah kecantikan syair, maka ia akan memperbanyak peradabanmu.

Sastera, mahukah anda mempelajarinya?

Label:

posted by Admin @ 7:18:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com