HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
2008/06/02
Oleh UST HASRIZAL JAMIL
(Dari arkib AKAR: dipetik dari majalah Anis, Dis 2007)


Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil
"Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!" tengking seorang ibu kepada anaknya. Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun. "Kamu buat apa di sini? Balik!" herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama rakan sekelasnya.

Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang menjadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.

Entah kenapa, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Saya akui, ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, maka mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah saya jadi ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu? Sebaliknya yang ‘normal’ itu ialah pada menerima, bahawa itu merupakan cara mendidik anak-anak?

Saya bukan mahu bercakap mengenai wajar atau tidak herdik serta tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.

Layan Cara Kecil atau Dewasa

Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya akan menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima atau enam itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa.

Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia membantu mereka. Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, "Kamu tidak tahukah aku penat?"

Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu?
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.

Yop kena marah

"Kenapa Yop masam muka ni?" Saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Apabila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.

Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Jika seorang pediatrik berhadapan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.

Semasa Yop berusia sekitar dua dan tiga tahun, dia mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biarpun saya tahu dia tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membantu.

"Tadi cikgu marah Yop," anak saya mula mahu bercakap.

"Kenapa cikgu marah?" saya cuba lagi untuk memahaminya.

"Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng." Katanya. Bibir memuncung.

"Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?" saya terus bertanya.

Anak saya mengangguk.

"Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga," katanya.

Saya tergamam.

Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun memahami konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dipukul, bukanya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.

Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.

posted by Admin @ 7:15:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com