HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Kebangkitan Orang Muda Melalui KMM Radikal Berani
2008/06/18
(Majalah al-Wasilah, bil 6, Ogos 2000)

Hari ini, saban waktu kita dimomokkan bahawa generasi muda sebenarnya tidak punya peranan dalam pembangunan politik negara. Peranan anak muda hanyalah mentelaah, mengkaji dan belajar, dan biarkan perihal politik serta negara diuruskan oleh golongan yang lebih dewasa.

Ini adalah perkara ‘biasa’ kata mereka dan ia berlaku sejak dulu. Tetapi benarkah begitu? Tidak terdapatkah dalam sejarah generasi muda dibenarkan bersuara dan melahirkan pandangan?

Jika kita menyorot sejarah, contoh-contoh yang akan kita temui menjelaskan sebaliknya. Revolusi Perancis umpamanya dibina di atas mayat-mayat anak-anak muda. Tokoh-tokoh seperti George Danton, Camilles Desmoulins dan Saint-Just terbunuh dalam usia 20-an. Robbespiere sendiri mati dalam usia 30-an, dan Napoleon ketika mengetuai bala tenteranya mara untuk menakluki Mesir, berusia 28 tahun. Melihat contoh yang lebih dekat seperti di India, Indonesia, Burma dan Filipina, kita dapati perjuangan memerdekakan bangsa dan negara bermula dengan ketidakpuashatian anak-anak muda yang kemudiannya bangkit menentang tuan-tuan penjajah di tempat mereka.

Kerajaan penjajah menyifatkan anak-anak muda ini sebagai ‘tidak mengenang budi’ tetapi mereka telah membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah sangat mulia – mahu menjunjung prinsip kebebasan dan keadilan.

Aneh sekali, kita seolah-olah lupa akan sejarah negara kita sendiri. Ahli-ahli politik Malaysia sering menekankan bahawa adalah lebih baik generasi muda menumpukan perhatian pada pelajaran daripada membabitkan diri dengan gerakan reformasi ataupun kerja-kerja memprotes.

Tetapi mereka lupa bahawa kemerdekaan Malaysia sendiri turut diperjuangkan oleh sekumpulan anak-anak muda, yang sanggup melepaskan buku dan terjun ke dalam dunia politik radikal.

Pada 1938, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda Melayu radikal, antaranya Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid dan Sultan Djenain. Dr Burhanuddin al-Helmy, yang kemudian menjadi Presiden PAS, turut menyertainya dalam 1939.

Ibrahim Yaacob menjadi Presiden KMM yang pertama. Naib Presiden ialah Onan Haji Siraj dan setiausahanya, Abdul Karim Rashid. Sultan Djenain pula dikatakan menjadi penghubung antara KKM dengan Parti Komunis Malaya.

Kesatuan Melayu Muda secara umumnya merupakan sebuah persatuan anak muda. Tidak ada seorang pun daripada pengasasnya berusia lebih 30 tahun. Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Yaacob pada waktu itu berusia 28 tahun., sementara Ahmad Boestamam baru berusia 18 tahun ketika menyertainya.

Sebahagian besar ahli KMM merupakan produk pendidikan vokasional British. Kebanyakan mereka terdiri bekas pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris dan Kolej Pertanian Serdang. Agenda radikal KMM diasaskan oleh orang seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam – semuanya penulis dan propagandis perjuangan bangsa.

Matlamat utama pergerakan ini adalah untuk memerdekakan negara dan merapatkan hubungan dengan bangsa Melayu Indonesia. Ibrahim Yaacob dan Burhanuddin al-Helmy malah memiliki gagasan yang lebih besar, iaitu mahu mewujudkan sebuah negara Melayu yang lebih besar, dikenali sebagai Melayu Raya yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Hindia Timur Belanda, Borneo dan Filipina.

Di bawah pemerintahan British budaya politik feudal aristokrat Melayu dibenarkan subur dan mengukuh dalam beberapa cara. Di Malaya dan juga di Hindia Timur Belanda, golongan elit tradisional terbukti berguna bagi rejim penjajah. Di kedua-dua negara jajahan ini, kuasa yang dimiliki golongan konservatif tradisional dapat digunakan untuk membantu kerajaan penjajah menekan sentimen anti-penjajahan yang menyubur di kalangan terpelajar.

Akibat bosan dengan tingkah laku dan karenah golongan tua inilah, maka anak-anak muda radikal KMM membuat keputusan ‘bertindak sendiri’ tanpa sebarang bantuan kewangan dan juga dokongan daripada mana-mana parti, mereka melancarkan pergerakan kebangsaan mereka sendiri untuk menghadapi British, yang pada waktu itu merupakan kuasa terbesar dan terkuat di dunia.

Pada 17 Ogos 1954, pemimpin kebangsaan radikal Indonesia, Ahmad Soekarno dan Muhammad Hatta mengisytiharkan kemerdekaan negara tersebut. Tetapi di Malaya, pemimpin radikal berjaya disisihkan British. Sebelum berundur, pihak berkuasa British berusaha sedaya upaya menonjolkan tokoh-tokoh elit Melayu untuk mengambilalih pemerintahan dan mengetepikan tokoh-tokoh nasionalis dan Islamik yang radikal.

Dalam tahun-tahun berikutnya, Dr Burhanuddin menjadi Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Ahmad Boestamam Presiden Parti Rakyat dan Ishak Haji Muhammad menjadi Presiden Parti Buruh. Ibrahim Yaacob pula menghabiskan sisa hayatnya dalam buangan di Indonesia dan berusaha merapatkan jalinan di antara kedua negara itu.

Apa jua yang diperkatakan mengenai anak muda di Malaysia pada hari ini, kita tidak boleh melupakan tokoh-tokoh yang pernah wujud pada masa silam. Jasa yang pernah ditunjukkan KMM telah menjelaskan sesuatu yang berbeza – pada suatu ketika anak muda Malaysia berupaya dan bersedia menyoal apa yang berlaku di sekitar mereka walaupun pada waktu itu nampaknya semua harapan telah hilang.

Label:

posted by Admin @ 12:46:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com