HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Minda Poros
2008/05/15
Oleh FATHI ARIS OMAR

Sumber: Dipetik dan diubahsuai daripada Tamadun, April 1997
(dari arkib AKAR)

PARADIGMA menjadi alat saringan yang berkesan dalam minda seseorang atau sesuatu ummah. Persekitaran baru yang diasak oleh pelbagai perubahan tidak membawa banyak erti jika paradigma sedia wujud tidak berjaya melihat pelbagai peluang untuk ke depan. Sedangkan ummah kita tidak boleh sama sekali bersifat reaktif kepada perubahan. Malah, sikap adaptif juga dianggap tidak sesuai. Sikap reaktif, pengurusan krisis dan penyelesaian masalah hanya sesuai kepada pengikut arus perubahan- atau ummah yang menganggap persekitaran yang berubah hanyalah "takdir" untuk ditangani. Sikap adaptif pula membayangkan tindakan reaktif juga. Kita cuba "menyesuaikan diri" dengan arus perubahan.

Jika ummah ingin ke depan, menjadi pihak pertama atau pemimpin sejagat dalam bidang-bidang strategik, hanya sikap berantisipasi boleh membawa kita ke era baru. Sikap berantisipasi bermakna kita bersedia menyertai arus perlumbaan mencipta laluan ke abad 21 dan merebut peluang-peluang masa depan. Dalam era perubahan yang bergelora dan drastik, di mana nilai-nilai lazim tidak kekal lama, hanya sikap berantisipasi yang boleh menghadapi gelombang abad 21.

Risiko bersikap reaktif terhadap masa depan sangat besar. Kita akan mengalami "kejutan" kerana rangsangan persekitaran yang melapau atau environmental overstimulation melumpuhkan keupayaan membuat keputusan rasional. Malah Toffler dalam Future Shock berhujah lagi, apabila situasi berubah dengan mendadak dalam konteks yang sama sekali baru, ketepatan ramalan menurun dan akhirnya penilaian yang wajar tidak mampu dibuat. Ringkasnya, tahap penyesuaian diri juga ada batasnya. Tinggallah sikap berantisipasi sebagai alat berdepan dengan perubahan abad 21.

Bagaimanapun, sikap berantisipasi tidak akan wujud sekiranya paradigma menjadi alat saringan. Hanya minda yang poros- membenarkan pertukaran dinamik dua hala- akan berjaya membina sikap ini. Pertukaran antara minda dengan persekitaran dan dalam minda itu sendiri. Minda poros membawa dua implikasi. Pertama, kita memerhatikan perubahan persekitaran yang berlaku. Melalui pendedahan kepada sumber maklumat yang difahami (bukan hanya diketahui), kita akan mengerti rentak dan nafas baru dunia menjelang abad 21. Kita tidak mungkin membina masa depan atas kejahilan tentang realiti ini. Walaupun masa depan boleh terpisah daripada unjuran realiti kini, setidak-tidaknya sebahagian perubahan masa depan masih berpijak atas perkembangan kini (selalunya agak sukar dikesan).

Kedua, keporosan minda juga bermakna kita rela ke luar jendela paradigma lazim. Walaupun terdedah kepada pelbagai sumber maklumat terkini tetapi jika paradigma masih mengekalkan asas-asas lapuk, maklumat baru tidak menolong membuka jendela abad 21. Minda poros telah mempertikaikan asas-asas sedia ada, mencari kemungkinan baru, alternatif-alternatif dan mempersoalkan "kesahihan" yang edia diyakini. Model minda poros adalah seperti berikut:

MASA KINI: Persaingan sejagat, reaktif dan mengikut
MASA DEPAN: Peluang sejagat, pertama dan pemimpin

Minda poros bertindak sebagai mekanisme jambatan antara masa kini dengan masa depan. Jambatan yang dibina bertujuan meninggalkan persaingan merebut peluang yang sempit pada masa kini yang menjadikan ummah bersikap reaktif- cuba menyelesaikan masalah akibat perubahan. Minda poros yang berimaginasi secara tidak ortodoks, apabila pengaruh paradigma menumpul, bertujuan meredah jalan-jalan ke depan dan menjadi pihak pertama sampai ke era baru sebagai pemimpin sejagat.

Minda menjadi tidak poros kerana paradigma memberikan satu corak kefahaman tentang sesuatu perkara yang lazim dan munasabah dalam proses menasfsir maklumat persekitaran. Apatah pula paradigma itu pernah menyebabkan kejayaan, keselesaan dan kebaikan. Kesetiaan kepada sesuatu paradigmalah yang menyebabkan makin sukarnya manusia berubah, dan kian rendahnya tahap antisipasi. Ia berjaya membina comfort zone dalam diri individu, organisasi dan ummah.

Menurut Matthew McKay, Martha Davis dan Patrick Fanning, dalam Thoughts and Feelings: The Art of Cognitive Stress Intervention, manusia bertindak berdasarkan rancangan persekitaran yang ditanggapinya. Kajian psikologi menunjukkan pemikiran mendahului perasaan sebelum wujudnya ketegangannya dalam diri seseorang. Antara rangsangan persekitaran dengan bangkitan fisiologi atau perasaan, pemikiran memainkan peranan aktif menafsirkan perkataan tersebut. Inilah yang sering dikatakan, "Jika terlalu takut, tunggul kayu pun disangkakan hantu." Walaupun persekitaran masih selamat, seseorang yang "berasa" atau "percaya" ada sesuatu yang mengancamnya akan mengalami perasaan terancam dan menunjukkan tindakan akibat perasaan tersebut. Oleh itu, minda yang dipengaruhi paradigma sebenarnya "buta" walaupun realiti berada di sekelilingnya, apatah lagi pada masa depan.
Paradigma memandu kita melihat masa depan berdasarkan apakah yang sedia wujud dalam fikiran. Benar atau palsu, rasional atau tidak, bukan lagi isu pokok. Jika paradigma melihat perubahan masa depan sebagai "serangan ke atas negara", kita akan menyediakan kubu pertahanan. Masyarakat akan dinasihati agar membina kekuatan yang bersifat pertahanan dan mungkin menyerang balas. Peluang, jika masih dilihat, mungkin untuk mengelakkan diri daripada serangan perubahan.

Sebaliknya, jika masa depan dilihat "peluang negara merebut tempat memimpin", kita akan membina kekuatan untuk menakluk. Persoalan kubu tidak lagi begitu penting. Kita berfikir tentang bagaimana hendak sampai ke sana, persiapan dalam kembara dan waspada terhadap serangan hendap. Kita mengarifkan diri tentang liku, lurah, dataran dan puncak dalam perjalanan itu. Melihat masa depan sebagai ancaman akan melemaskan ummah dengan isu-isu persiapan di dalam kubu; atau paling baik di sekeliling kubu.
Melihat masa depan sebagai mencipta dan merebut peluang akan membuka minda yang bersifat "meneropong" jauh ke ufuk masa.

Dua paradigma terhadap perubahan masa depan menimbulkan dua set perasaan yang berbeza, menghasilkan dua set persoalan yang berbeza dan seterusnya merangsang dua jenis tindakan berbeza. Keporosan minda bertujuan menumbuhkan natijah kedua.

Ainon dan Abdullah, melalui Kursus Berfikir Tinggi, menyenaraikan pelbagai kelas pemikiran. Pada hemat kita, minda poros adalah satu himpunan jenis dan gaya pemikiran yang disenaraikan seperti berikut:

Analitikal - daya usaha melihat sesuatu secara terperinci dengan cara memecahkan masalah besar kepada bahagian-bahagiannya yang lebih kecil; proses mencari punca-punca; memahami situasi yang kompleks melalui unsure-unsurnya.

Teknikal – menggerakkan daya reka cipta.

Hipotetikal – mencari kemungkinan membuat ramalan yang munasabah; menyusun dan mengguna maklumat dengan cara yang baru.

Projektif – keupayaan mental meramal atau mengunjur keadaan-keadaan masa depan yang belum wujud pada masa kini.

Proaktif – berfikir lebih awal sebelum sesuatu perkara terjadi.

Kreatif – keupayaan melihat sesuatu dari pelbagai sudut bagi menghasilkan pelbagai cara menilai atau melakukan sesuatu.

Konstruktif – daya usaha memperbaiki apa-apa kelemahan yang terdapat pada sesuatu idea.

Positif – keupayaan melihat kebaikan, kegunaan, keuntungan atau faedah pada apa-apa sahaja.

Nilai- menggunakan nilai sebagai asas atau sandaran bagi pandangan atau keputusan yang dibuat. Dalam kes ini, nilai yang dimaksudkan tentunya prinsip-prinsip Islam yang jelas dan sistem hukum yang berkembang.

Lateral – berfikir untuk menjanakan idea-idea baru sama sekali, yakni tidak ada hubungan dengan idea-idea lama.

Selari – meletakkan idea-idea dalam keadaan selari tanpa hujahan, nilaian atau kritikan khasnya pada peringkat awal. Semua idea dianggap boleh diterima atau ditolak.

Dan sebagai tambahan, Sistemik – mengambil kira hubungkait atau rangkaian idea atau perkara yang difikirkan.

Minda poros sebegini ditekankan semata-mata wujudnya kecenderungan di kalangan kita untuk berdebat secara tidak konstruktif, kegagalan menghargai idea kreatif, mengutamakan idea kosong tanpa usaha ke arah meratakan sumbangan produktif oleh ketidakporosan minda tidak sesuai untuk membuka jendela abad ke-21.

Label:

posted by Admin @ 12:57:00 PTG  
1 Nak Komen? jgn malu2..:
  • At 20 Mei 2008 9:41 PG, Blogger fathi aris omar said…

    Salam, saya terharu dengan penerbitan semula artikel lama saya ini.

    Saya berdoa, ia akan memberi manfaat kepada mereka yang memahaminya.

    Insya Allah, jika ada kelapangan, saya akan mengulas lanjut isu ini kerana ia masih menarik minat saya sampai sekarang - maksudnya, hubungan fikiran dan persekitaran.

    fathi@malaysiakini.com
    atau faomar@yahoo.com

     
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com