HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Mengatasi Penyakit Pemikiran
2008/05/15
Oleh FATHI ARIS OMAR

Sumber: Majalah Tamadun, April 1997
(dari Arkib AKAR)

DALAM masyarakat Islam, personaliti penyumbangan idea boleh menghalang penilaian terhadap idea. Ulama sering berhujah- pandangan orang yang jahil dan fasiq tidak sesuai dirujuk. Tanpa disaring dan difikirkan beberapa kali, ‘pandangan’ itu pun ditolak tanpa diklasifikasikan sama ada ia terdiri daripada berita, idea atau pengajaran; tanpa mengelaskan sama ada ia termasuk dalam aspek-aspek hukum yang asasi atau hal-hal furuk; tanpa mempedulikan amalan itu strategi atau sandaran-sandaran yang membentuk strategi.
Ada waktunya, demi mengelakkan perdebatan yang panjang, pandangan itu diterima ala kadar sahaja, tanpa tindakan sesuatu yang bermakna. Ada kecenderungan yang kuat dalam masyarakat Islam untuk menolak atau kurang menerima sesuatu pandangan atau idea-idea yang tidak didasarkan pada idea itu sendiri. Banyak faktor lain yang mempengaruhi idea seperti kepakaran seseorang dalam bidang agama, usia, jenis pertubuhan, aliran pemikiran dakwah, akhlak dan amalan agamanya.

Kriteria-kriteria ini menjadi begitu dominan sehingga ia boleh digelar satu ‘paradigma saringan’ untuk memastikan sesuatu idea diterima oleh masyarakat Islam. Persoalan kebenaran, kebernasan dan kemungkinan yang terdapat pada idea akan dikesampingkan. Siapa yang berkata jauh lebih utama daripada apa yang diperkatakan menjadi prinsip yang dipegang kukuh tanpa disedari oleh sesiapa. Pada hemat kita, ini merupakan salah satu punca penyakit kenapa umat Islam lambat maju, terkongkong dan terasing daripada realiti yang berubah di sekelilingnya. Jika wujud minda yang poros, hal sedemikian tidak akan terjadi.
Penyakit itu sebetulnya penyakit pemikiran dan ia merupakan satu paradigma atau tindakan pengurusan paradigma dan keporosan minda yang bijaksana. Penyakit pemikiran sebenarnya lebih sukar dihadapi daripada ketiadaan sumber, kepakaran, kebendaan atau kewangan. Tidak ada makanan tidak menyusahkan jika ada idea untuk mencari jalan keluar daripada kelaparan. Tetapi bagaimana jika tidak ada selera makan? Penyakit pemikiran samalah ibaratnya kehilangan selera makan. Umat Islam sebenarnya mengalami penyakit ini dan ia berpunca daripada minda yang tidak poros. Sedangkan masyarakat Islam memerlukan idea-idea dari minda poros bagi menjawab tiga isu asasi, iaitu:

1. Penyelesaian masalah akibat modenisasi dan industrialisasi. Masyarakat hidup dalam sistem yang dinamik. Penyelesaian masalah, katakan gejala sosial bukannya rumusan matematika 1+2=3. Remaja lepak dan bohsia kita wujudkan program rakan muda. Masalah bayi kita cuba tangani dengan bank bayi. Mungkin juga masalah baru jauh lebih besar daripada masalah asal. Mungkin ada wajarnya masalah sedia ada tidak diselesaikan. Penyelesaian hari ini boleh menghasilkan masalah pada masa depan. Keadaan in terjadi jika ummah berfikiran singkat dan nampak implikasi jangka pendek. Hari ini demi hari kita berdepan dengan masalah-masalah yang kompleks dan penyelesaiannya menuntut idea-idea yang realtifnya kian kompleks juga.

2. Pembinaan kekuatan dan daya saing (mencipta "aturan permainan" abad ke-21). Dalam permainan dunia moden, umat Islam sedunia sangat dipengaruhi oleh arus perubahan dunia. Keadaan ini sesuatu yang malang dan menyedihkan. Kekuatan yang dibina oleh dunia memaksa ummah menurut peraturan tersebut. Jika cuba berdegil dengan cara tersendiri, ummah mungkin terdedah kepada ketewasan dalam persaingan sejagat. Ketewasan, katakan dalam bidang ekonomi atau teknologi, akan memudahkan lagi dunia memperkotak-katikkan ummah. Oleh itu, mahu atau tidak mahu, kita harus sedar, dan wajar memahami mengikut rentak dunia. Namun, peraturan dunia mungkin satu paradigma yang beku dan tidak menguntungkan. Untuk keluar daripada kesan kelumpuhan paradigma dunia, ummah harus berfikir kreatif berpandukan prinsip-prinsip Islam yang teradun sebati dengan realiti zaman. Usaha ini tentunya menuntut idea yang canggih dan tentunya tidak menjelma sekelip mata atau secara automatis.

3. Pembinaan sistem alternatif Islam pada masa depan. Kita semua sedar betapa kecil dan sedikitnya pengaruh sistem Islam dalam negara ini, apatah lagi di rantau dan dunia ini. Untuk mengoperasikan sistem Islam di tengah-tengah keadaan ini, pemikiran kreatif dan bijaksana sangat diutamakan. Ia bertujuan meningkatkan daya keberkesanan sistem alternatif itu sendiri, selain mengurus rintangan terhadap perubahan.

4. Pendek kata, dari apa-apa persepektif pun, umah perlu menjanakan idea-idea yang semakin hebat dan canggih. Lazimnya idea tidak berkembang secara sempurna dalam sekelip mata. Keadaan ini benar dalam konteks pembinaan masyarakat dan negara. Idea-idea besar harus diperbahaskan untuk dimantapkan dan dimatangkan supaya menjadi kian mendalam dan amali. Idea besar yang berupa konsep umum atau prinsip am tidak wujud di alam nyata, ia hanya tergambar dalam minda atau paling jauh tercatat di atas kertas dasar. Idea yang boleh dilaksanakan harus sampai ke tahap perincian yang wajar. Walaupun banyak pihak ingin penyelesaian segera dan mahu melihat perubahan mendadak, idea sebenarnya melalui proses evolusi dan kadar kepantasan evolusi bergantung pada jumlah sumbangan idea yang bernas dalam masyarakat Islam.

Oleh kerana Islam menawarkan konsep asas dan prinsip umum, maka sangatlah wajar ia direndangkan dengan kekuatan daya fikir yang berasaskan ilmu. Jika tidak Islam selama-lamanya menjadi impian yang manis dalam kepercayaan tetapi tidak wujud dalam dunia nyata. Banyak perkara yang diperkatakan secara am atau prinsip harus dicernakan menjadi idea-idea yang praktikal dalam dunia nyata.

Jika diimbas, sudah banyak idea Islam dioperasikan hasil proses evolusi. Universiti Islam, perbankan dan kewangan Islam adalah contoh-contoh yang paling menonjol diusahakan oleh pihak kerajaan dan organisasi dakwah sendiri. Pada tahap pelaksanaan, proses inovasi sentiasa berjalan-memerlukan idea kreatif dan konstruktif. Idea tidak mungkin berhenti dengan wujudnya institusi atau sistem Islam kerana setiap kewujudan harus pula dikekalkan dengan daya kemapanannya.

Memang benar idea sahaja belum mencukupi jika tidak ada kerelaan politik, sumber manusia dan kewangan tetapi dengan idea, keterhadan boleh diatasi. Idea tidak akan mengenyangkan tetapi bukankah dengan idea kita boleh mengisi perut yang lapar hari ini, bulan depan dan tahun depan? Parahnya, masyarakat Islam "muflis" idea konstruktif tetapi di sana sini kita mendengar pekikan mendesak dan jeritan mengkritik.

Bagi mengatasi tahap kemuflisan tersebut, ummah sangat memerlukan minda poros yang menjana idea-idea besar dan revolusioner atau idea kecil dan sampingan. Menurut penyelidik rahsia kejayaan korporat gergasi dunia General Electric, organisasi masa depan harus memahami hubung kait antara dua jenis idea yang boleh menjadikannya "juara" pada abad ke-21. Tichy dan Sherman dalam Control Your Destiny or Someone Else Will menjelaskan kepentingan idea-idea kuantum dan kecil dalam organisasi.

Idea kuantum mencetuskan revolusi dalam organisasi dan akhirnya industri yang mengubah gaya hidup pengguna produk dari organisasi berkenaan. Ia mencetuskan transformasi. Bagaimanapun, idea kuantum hanya terjelma apabila diperincikan kepada idea kecil yang memapankannya. Idea kecil-kecil dikira penting bagi meningkatkan secara berterusan, namun peningkatan itu secara sampingan sahaja. Hanya organisasi dan bangsa yang berjaya menjana dua jenis idea ini, bukan salah satunya akan muncul pemenang pada abad 21.

Oleh kerana idea yang diperlukan banyak, sebelum dibahas-matangkan, ummah harus bersedia melayan setiap idea dengan sewajarnya. Edward de Bono melalui Serious Creativity menyarankan beberapa teknik merawat idea seperti di bawah:
  • Menolak idea mentah-mentah: Inilah cara yang paling mudah membunuh idea dan seterusnya motivasi penyumbang idea. Hal ini tidak kurang lazimnya dalam organisasi kelompok masyarakat kita apatah lagi penyumbang idea tidak boleh dikategorikan sebagai memnuhi ciri-ciri tertentu. Ada semacam satu kecenderungan di kalangan masyarakat kita untuk menilai penyumbang idea berdasarkan siapa orang itu, bukan nilai ideanya. Siapa yang memperkatakan lebih dihargai daripada apa yang diperkatakan.

  • Membentuk idea: Mengambil kira halangan dunia nyata seperti kos, undang-undang, penerimaan masyarakat, keupayaan melaksanakan dan aspek sosiobudaya.

  • Melenturkan idea: Mengambil halangan-halangan dalaman organisasi atau kumpulan seperti wang, kakitangan, masa atau motivasi.

  • Mengukuhkan idea: Bertujuan menambahkan "nilai" yang ada pada idea dari segi manfaat, praktikaliti , kemudahan dan penerimaan.

  • Memantapkan idea: Idea yang mempunyai penjuru atau sendi yang lemah harus diperkukuhkan. Kelemahan idea lebih mudah diperbaiki sekiranya tiada kesilapan asas.

  • Mengangkat idea: Idea tidak akan ke mana-mana jika tidak ada pelaksana dan gerak kerja pelaksanaan. Banyak pihak terbabit untuk menjayakan sesuatu idea dan setiap pihak ini harus selaras dalam mengukur nilai idea tersebut.

  • Membandingkan idea: Perbandingan mendedahkan kelebihan (dan kekurangan) idea-idea yang dicadangkan atau idea baru itu dengan idea lama. Idea yang kelihatan hebat mungkin lemah atau tidak jauh bezanya apabila dibandingkan dengan idea-idea lain. Boleh jadi idea nampak indah hanya pada harapan dan sangkaan. Kebaikan dan kelebihan idea haruslah diasaskan pada hujah yang kukuh.

  • Kesilapan dan Kekurangan: Manusia lebih cenderung menolak kesilapan daripada menerima manfaat. Peringkat memerlukan ketelitian yang mendalam dan membetulkan idea, jika perlu.

  • Kesan atau akibat: Memikirkan akibat penggunaan idea dalam jangka masa segera, pendek, sederhana dan panjang. Memeriksa idea sebegini akan mendedahkan halangan, masalah atau kekurangan baru. Senario-senario yang bakal terjadi akibat penggunaan idea harus disemak, walaupun bukan semuanya. Persekitaran yang berubah mungkin memerlukan idea itu ditangguhkan atau terus ditolak.

  • Keupayaan diuji: Idea-idea yang berjaya diuji dengan alat-alat ujian tertentu akan mudah diterima.


Penilaian: Akhirnya idea harus dinilai untuk memastikan manfaatnya yang sebenarnya.
Langkah de Bono ini bukannya untuk ditiru bulat-bulat tetapi minda poros harus tahu menyaring idea sewajarnya: bukan menolak mentah-mentah dan melemahkan percambahan idea kreatif dalam masyarakat.

Label:

posted by Admin @ 12:50:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com