HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Suatu Ketika Dahulu...
2008/03/12

Sinai Gurun Terbiar

Oleh IRENE BEESON

(dipetik dari Mastika 1986)

Dalam bulan Februari 1967, jurutera-jurutera Mesir telah dapat menyiapkan peringkat pertama sebuah projek pengairan untuk mengalirkan Sungai Nil ke Semenanjung Sinai.

Projek raksaksa yang dijangka siap dalam tahun 1975 itu melibatkan kerja-kerja menebusguna kawasan seluas 80,000 ekar untuk dijadikan kawasan pertania, dan akan diari oleh Nil menerusi sebatang terusan yang dibina di tebing barat Terusan Suez.

Dalam peringkat pertama projek itu, seluas 20,000 ekar tanah telah ditebusguna dari sebuah kawasan di Tasik Mur.

Apabila saya melawat kawasan itu dalam bulan Disember 1966, beberapa orang jurutera dari Pertubuhan Pemulihan Kawasan Gurun Mesir dengan bangga telah membawa saya melihat hasil dari titik peluh mereka selama ini – pokok-pokok jagung yang subur menghijau di sana sini di samping tapak-tapak semaian yang disediakan untuk tanaman-tanaman yang hasil biji benihnya didapati dari biji.

Menurut mereka, sejumlah lebih kurang 8 juta anak pokok diperlukan sebaga penghalang dan pelindung kepada kawasan tanaman itu daripada ribut pasir dan hakisan.

Semasa di Sinai itu, jeep kami tela meneroka ke segenap ceruk kawasan tanah gurun yang ditebusguna itu dengan melalui jalan raya yang baru, rangkaian-rangkaian terusan dan kerja-kerja mendirikan tapak bina perkampungan untuk orang-orang yang tidak mempunyai tanah.

Apabila siap nanti, setiap keluarga yang dipindahkan ke kawasan perkampungan itu akan diberi sebuah rumah dan lima ekar tanah.

Adalah ditafsirkan sekurang-kurangnya 17,000 keluarga akan mendapat faedah dari projek yang sedang dijalankan apabila ianya siap kelak. Sebahagian besarnya melibatkan orang-orang Badwi Sinai.

Bagaimanapun, projek itu akan memberi faedah kepada Semenanjung Sinai pada keseluruhannya dari segi meramaikan bilangan tenaga pekerja Sinai yang akan menyediakan bekalan tenaga manusia kepada usaha meneroka kekayaan bahan-bahan galian di semenanjung itu, dan juga dapat memajukan lagi keadaan ekonomi dan sosial penduduk-penduduknya.

Sejak zaman-berzaman, Sinai telah memainkan peranan penting kepada Mesir, sebagai benteng pertahanan dari serangan-serangan musuh di Timur, sebagai jalan perdagangan yang penting dan sebagai punca bahan-bahan galian.

Orang-orang Mesir, sejak dari 2780 sebelum Masehi lagi telah datang mencari dan menggali bahan-bahan galian di situ dengan membawa bersama mereka perdagangan, kebudayaan, agama dan peperangan, terutamanya di negeri-negeri sebelah timur Semenanjung Sinai.

Pendapat tentang Sinai sebagai ‘tanah gurun yang tidak memberi hasil’ yang dikeluarkan oleh pihak Israel dan penyoong-penyokongnya sudah tidak laku lagi sebagaimana kata-kata mereka dahulu bahawa Palestin hanyalah sebuah ‘gurun’ dan negeri ‘tanpa penghuni’.

Tetapi Sinai sebenarnya adalah sebuah bumi yang kaya dengan bahan-bahan galian yang masih tersembunyi, tetapi tidak mendapat perhatian dari Mesir ketika negeri itu sedang dalam pemerintahan kuasa asing. Dalam masa beberapa tahun sahaja sejak ianya benar-benar bebas dari cengkaman kuasa luar – dari 1957 hingga 1967 – Mesir telah memainkan peranan peranan yang besar dalam memajukan kawasan itu.

Di bawah Perjanjian Gencatan Senjata pada tahun 1949, yang diikuti dengan penubuhan Negara Israel, Semenanjung Gaza telah diletakkan di bawah pentadbiran negara Mesir.

‘Semenanjung itu ialah sebidang tanah pantai Palestin yang bertemu dengan bumi Sinai di Rafah, sebuah bandar yang menjadi sempadan antara Mesir dengan Sinai.

Di bawah pentadbiran negara Mesirlah, Semenanjung Gaza dapat berkembang dengan pesatnya, terutama di pusat-pusat bandar seperti Rafah dan El ‘Arish di utara Sinai. Dan projek menebusguna kawasan yang dijalankan itu kini telah memperluaskan lagi kawasan pertanian di sekitar bandar-bandar itu.

El Arish, sebuah bandar pasar yang kaya dengan pokok-pokok kipas dan pantai-pantai pasir yang indah, telah menjadi sebuah pusat membeli-belah dan tempat pelancongan yang terkenal. Sejak dahulu lagi, bandar ini terkenal dengan pokok-pokok kurmanya, sehingga memaksa Jeneral Mosye Dayan menulis dalam Buku Hariannya Mengenai Kempen di Sinai semasa serangan Israel yang pertama ke atas kawasan itu dalam tahun 1956:

“Hutan-hutan kurma El Arish ini membujur beberapa batu ke barat, meliputi sebuah kawasan tanah yang membujur di sepanjang pantai...” Samada di Dataran Araba berdekatan dengan Laut Mati atau di Lembah Beth She’an, atau juga di pantai-pantai Laut Gallilee, belum pernah saya melihat ladang-ladang kurma yang buahnya sebegini sedap dan bermutu.’”

Hari ini buah-buah kurma itu telah dieksport oleh Israel dalam bungkusan-bungkusan yang bertulis ‘Kurma El-Arish, ISRAEL’.

Semenanjung Gaza ini yang pernah juga disebut-sebut sebagai ‘kawasan gurun yang meleset’ telah juga menarik perhatian Dayan yang dalam buku hariannya menyatakan bahawa sudah tercatit dalam kepercayaan turun-temurun bahawa orang-orang Israel hanya akan mendapat hak ‘tanah gurun’ sahaja dari Arab.

Tentang Semenanjung Sinai, Dayan menulis: “Kawasan di kedua-dua belah jalan raya telah ditanami dengan pesatnya...tiada seinci pun dari tanah-tanah itu dibiar terdedah begitu sahaja. Adalah perlu untuk mengimport lebih kurang 300,000 buah-buahan dari Gaza ke Eropah menerusi Pelabuhan Haifa.’

Gaza juga terkenal dengan buah tembikainya yang besar dan manis. Sebanyak 5000 tan telah dieksport tiap-tiap tahun.

Selepas revolusi tahun 1952, Sinai adalah salah sebuah kawasan yang termasuk dalam senarai kawasan-kawasan yang akan diberi keutamaan dalam projek-projek kerajaan.

Di bawah Rancangan Lima Tahun Yang Pertama- Tahun 1960-1965 – rancangan menebusguna tanah telah dijalankan di kawasan-kawasan yang terdapat air.

Dalam masa tiga tahun pertama rancangan itu, sebanyak 6200 ekar telah ditebusguna di Wadi El Arish, Ain Moussa dan Rafah dengan menggunakan perigi artisan.

Sementara seluas 2900 ekar lagi telah ditebusguna dengan menggunakan air dari parit-parit yang telah digali. Kawasan ini kemudian ditanami dengan pokok buah-buahan.

Di El Arish, seramai 192 keluarga pengembara telah ditempatkan di ‘Kampung Nasser’. Tiap-tiap keluarga diberi sebidang tanah seluas antara 3 hingga 5 ekar, sebuah rumah dan perkhidmatan perubatan dan sosial percuma.

Untuk menjadikan diri mereka petani-petani yang berjaya, keluarga-keluarga itu telah diberi benih-benih tanaman dengan bayaran yang sederhana, projek ternakan lembu dan ayam telah diadakan, dan sebuah klinik haiwan juga telah didirikan untuk memberi rawatan percuma kepada ternakan-ternakn mereka itu.

Sejenis bijirin yang boleh mengeluarkan minyak telah menjadi tanaman yang penting di kawasan itu. Perikanan di Tasik Bardaweel di utara Sinai, di Telukan Suez dan Aqaba adalah antara kegiatan-kegiatan yang dijalankan untuk menambah pendapatan penduduk.

Satu penyelidikan rapi telah dijalankan untuk menentukan samada bahan-bahan air dan galian di Sinai mengizinkan pembinaan perusahaan menggalinya. Hasilnya amat menggalakkan sekali kerana Sinai memang amat kaya dengan galian-galian seperti minyak, fosfat, arang batu, bijih besi, timah hitam, batu kawi, tanah bolong dan sebagainya.

Minyak mula dijumpai di Sinai dalam tahun 1921. pengeluaran secara terhad telah dimulakan dalam tahun 1945, tetapi hanya selepas tahun 1957, barulah kawasan minyak Sinai benar-benar diusahakan.

Sehingga tahun 1963, Sinai mengeluarkan 3.4 juta tan minyak setahun dan jumlah ini meningkat ke 5 juta tan dalam tahun 1966, iaitu lebih kurang dua pertiga dari jumlah pengeluaran Mesir.

Jumlah pengeluaran ini memang boleh ditambah lagi, tetapi sengaja tidak dibuat begitu untuk menjimatkan pembekalannya.

Hari ini, Israel yang tidak mempunyai kawasan minyak telah menggali sebanyak enam juta tan minyak Sinai yang dapat mengatasi jumlah keperluan minyak dalam negaranya.

Bahan-bahan galian, arang, tanah liat, gypsum dan minyak adalah di antara bahan-bahan eksport Sinai sebelum perang meletus dalam tahun 1967. Yang lain-lainnya digunakan oleh perusahaan-perusahaan Mesir.

Projek-projek dan kegiatan-kegiatan ekonomi yang dijalankan adalah bertujuan untuk membaiki taraf hidup dan keadaan sosial penduduk-penduduk Sinai, bukan untuk menambah bilangan penduduk dengan memindahkan orang-orang Mesir ke situ kerana ia adalah lebih merbahaya dari segi kedudukan sosial, ekonomi dan politik kawasan itu sendiri.

Untuk mencapai tujuan itu, menebusguna tanah secara besar-besaran adalah jawapan kepada masalah kekurangan air di Sinai. Projek pengairan untuk membawa air Nil ke Sinai itu bukan sahaja akan mempercepatkan penempatan di kawasan itu, tetapi juga dapat menutupi jurang ‘terpisahnya’ Mesir dari Sinai selama ini.

Menukarkan bumi Sinai ke wajah segar bukanlah suatu perkara mustahil. Tenaga dan jumlah wang yang bertahun-tahun dicurahkan untuk Sinai merasa air manis dari Sungai Nil telah berjaya di peringkat awal projeknya. Benih sudah disemai, anak-anak pokok mula tumbuh subur, cuma hasilnya sahaja yang ditunggu.

Tetapi hasil yang ditunggu itu rupanya tidak datang-datang. Perang meletus pada 5 Jun 1967 dan Sinai jatuh ke tangan Israel.

Dalam masa lima hari sahaja, seramai 25000 tentera Mesir terbunuh dan cedera, Rafah dan El Arish telah musnah dan lebih kurang satu perempat dari penduduk Utara Sinai melarikan diri ke Mesir.

Apabila gencatan senjata diisyhtiharkan, Sinai sudah bertukar wajah. Sunyi di sana-sini. Tiada lagi aliran air manis Nil yang mengalir ke Sinai. Yang ada Cuma tiupan angin dengan pasir-pasir yang tidak putus-putus melanda bumi yang subur dahulu. Demikianlah bala yang dibawa oleh Israel ke Sinai.

Apabila saya melawat bahagian utara Sinai dalam bulan Mac 1970, ‘pelancong-pelancong’ yang ditemui di sepanjang jalan dari Gaza ke El Arish hanyalah kumpulan askar Israel yang sedang dalam perjalanan menuju ke Terusan Suez.

Di kedua-dua belah jalan itu berselerak dengan alat-alat perang Mesir yang dahulu, yang sengaja dibiarkan oleh pihak Israel untuk dijadikan batu tanda serangan Israel di bumi Mesir.

El Arish telah menjadi bandar berhantu. Jalan raya-jalan raya dan tempat-tempat yang dahulunya sibuk dan riuh-rendah dengan seribu ragam manusia dan kenderaan kini lengang dan sepi. Kedai-kedai ditutup, yang ada cuma menjalankan perniagaan barang-barang keperluan hari-hari.

Arafah juga telah mati dan kawasan sekitarnya juga bertambah gersang. Perigi-perigi yang dahulunya digunakan sebagai punca pengairan di kawasan itu kini telah digunakan oleh askar-askar Israel untuk keperluan mereka sendiri. Hakisan angin dan pasir tidak putus-putus merosakkan kawasan yang sudah lima belas tahun diusahakan untuk menyuburkannya.

Tetapi dua orang jurutera pertanian Mesir masih lagi menunggu di kawasan itu, sekali sekala berlawan dengan pihak Israel untuk menyelamatkan kawasan itu dari kembali menjadi gurun.

Bagi orang-orang Mesir, menentang ribut pasir dan menebusguna tanah merupakan ‘peperangan’ yang tidak putus dihadapi mereka sejak dari awal lagi bila manusia mula-mula menetap di Lembah Nil.
Perjuangan yang beribu-ribu tahun dijalankan oleh nenek moyang mereka itulah merupakan warisan yang dipegang kuat oleh penduduk Mesir sekarang, dan mereka sanggup menghadapi sebarang rintangan dalam menebusguna tanah-tanah gurun itu.

‘Orang-orang Israel akan keluar dari bumi ini juga walau dengan apa cara sekalipun’, begitu besar sekali harapan dan kepercayaan penduduk Gaza, Arafah dan El Arish.

Apabila Israel keluar, orang-orang Mesir akan menyambung kembali kerja-kerja mereka yang terbengkalai sejak dulu – merobohkan himpunan-himpunan pasir yang menutupi kawasan itu, mengorek parit-parit dan terusan-terusan baru dan membuat apa sahaja supaya bumi Sinai akan dilimpahi rahmat dari Sungai Nil.
posted by Admin @ 5:05:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Komen
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com