HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Kerana Dia
2009/07/10
Kerana Dia

Oleh: Nurul Lailati Mahat

Aku masih ralit memerhati atuk mengisi beras ke dalam kelongsong ketupat sedari tadi. Dalam hati terdetik rasa kesal kerana aku tidak dapat mengusai seni menganyam ketupat walaupun sudah bertahun-tahun lamanya aku mencuba setiap kali menjelang lebaran. Kalau tidak, sudah tentulah semua kelongsong ketupat dapat disiapkan lebih awal dan mungkin pada ketika ini kami semua sama-sama dapat merasai keenakannya.

"kak Ngah, apa lagi yang dimenungkan tu? Cepat sikit kak…kalau cepat siap, malam ni boleh tidur cepat…", tegur emak mematikan lamunanku.
Tiba-tiba Sony Ericson k310i milikku menyanyi beberapa detik menandakan ada mesej masuk. Pantas ku berlari ke atas mendapatkannya.
"kak, nak ke mana lagi tu? Kerja banyak lagi ni…" emak bersuara lagi.
"sekejap mak. Nak tengok Nadia ni dah tidur ke belum", tukasku pantas, sengaja mencipta alasan walhal aku hendak membaca mesej yang pada tekaanku tentulah datangnya dari sahabat baik merangkap teman istimewa yang telah setahun kukenali. Mulanya hubungan kami tidak lebih dari sekadar menjalankan tugas yang telah diamanahakan memandangkan dia merupakan Ketua Lajnah Pendidikan manakala aku ditaklifkan sebagai timbalannya. Namun lama-kelamaan dari persahabatan biasa, timbul rasa kasih antara kami. Tambahan pula, abah dan emakku tidak menghalang siapa jua pilihanku sebagai bakal menantu mereka.
Walaubagaimanapun, hasrat untuk mengambil telefon bimbitku tadi terpadam serta-merta sebaik sahaja aku melihat ada kelainan pada adikku Nadia sewaktu melintasi tempat tidurnya untuk ke tempat di mana ku letakkan telefon bimbitku. Kulihat matanya dalam keadaan terbeliak dan terfokus pada satu arah sambil kepalanya tersentak-sentak manakala air liurnya meleleh keluar tanpa henti. Aku panggil namanya beberapa kali namun tiada jawapan. Seluruh badannya kejang. Kucuba gerakkan kepalanya sedaya upayaku seraya membaca ayat-ayat syifa' yang kuhafaz namun usahaku tidak berhasil. Aku melaung memanggil emak sambil bergegas mendapatkannya. Emak panik melihatkan keadaan adik kesayanganku. "Anak kita kena sawan tarik bang…" emak bersuara lirih dalam tangisnya. Abah, along dan Iman juga datang serentak sebaik mendengar jeritanku, lalu segera abah menyuruh kami semua bersiap untuk membawa Nadia ke hospital.

Malam itu seisi rumah atuk menjadi gempar. Kemeriahan menyediakan juadah lebaran di dapur tiba-tiba mati. Menurut emak, sebelum ini memang Nadia kerap diserang sawan sewaktu dia sedang berada di sekolah dan kerap jua dikejarkan ke hospital. Sengaja emak merahsiakannya darpada pengetahuanku kerana tidak mahu pengajianku di kolej terjejas sepertimana halnya semasa Along ditimpa penyakit ganjil suatu masa dahulu.

Sebaik sahaja enjin Serena hijau abah dihidupkan, aku teringat jubah, stoking dan niqabku. Aku berkira-kira mahu tinggal di rumah sahaja bersama atuk memandangkan aku tidak dapat menyediakan pakaian yang selama ini mengepung auratku daripada dilihat lelaki ajnabi dalam masa yang sebegitu singkat. Aku segera mencapai tudung hitam labuh yang memang sentiasa tersidai di kepala katilku walau perasaanku ini berbaur antara rasa cemas, runsing, takut, sedih dan ada juga terselit rasa marah yang bukan sedikit kerana baru sebentar tadi Iman mengkhabarkan kepadaku yang dia sebenarnya telah lama perasan perubahan Nadia sejak sejam yang lalu tetapi dia mendiamkan sahaja hal tersebutkerana menganggapnya perkara biasa.

"koe ora melok Ti?" atuk bertanyaku dalam kehairanan kerana selalunya akulah yang paling gemar mengikut abah ke mana-mana bersama Nadia.

"Nak tuk…pinjam selipar" aku menjawab.


Serena hijau terus membelah kepekatan malam. Sempat aku mengerling dashboard. 180 kilometer per jam! Tidak pernah kulihat abah dalam keadaan cemas sebegini sekali sehingga semua lampu isyarat merah tidak dihiraukannya. Kulihat emak menangis. Aku jua menangis. Nadis benar-benar kelihatan seperti sedang nazak. Kepalanya masih tersentak-sentak dan air liurnya masih meleleh seperti tadi. Hatiku merintih, "ya Allah, selamatkanlah adikku kerana aku tidak sanggup melihat dia pergi dalam keadaan tersiksa begini..". teringat hari-hari yang ku lalui bersamanya. Memang dia adik yang paling rapat denganku kerana dia satu-satunya adik perempuanku. Kadangkala kenakalannya menimbulkan kemarahanku namun pesan emak sering bersipongang di kolong hatiku sekaligus melenyapkan hasutan iblis, "kak Ngah, adik tak sesempurna kita. Kalau kita marah dia, kita yang berdosa sebab Allah dah jadikan keadaan dia camtu. Kalau mak dan abah boleh redha dengan dia, angah patut lebih lagi sebab kan angah lebih banyak belajar agama daripada kami.."

Seketika kemudian kedengaran pula suara Iman, "adik, jangan tinggalkan abang dik…abang sayang adik. Abang akan jaga adik. Abang takkan buat adik lagi…maafkan abang dik.." sebak hatiku mendengarkannya. Memang Nadia adikku yang istimewa. Sewaktu kecil, wajahnya sangat comel. Kulitnya mulus. Dia dilahirkan normal seperti kami anak-anak emak yang lain. Mengasuhnya juga paling mudah jika dibandingkan dengan keadaan kami, begitu emak berkisah. Namu rupa-rupanya disebalik kesenangan itu, Allah telah menyediakan ujian yang lebih besar buat emak dan abah. Semasa umur adik enam bulan, dia telah dimasukkan ke hospital kerana diserang demam panas. Sejak itu, dia mula menampakkan kelainan sedikit demi sedikit. Wajahnya menyerupai kanak-kanak down syndrome, otaknya lambat menangkap sesuatu, malah sehingga kini kami masih tidak dapat memahami pertuturannya.

Fizikalnya lemah sama sekali. Namun kami sekeluarga tetap menyayanginya. Dia permata hati kami. Emak selalu berdoa agar tidak punya zuriat lagi selepas adik bongsuku yang satu ini kerana bimbang kemaslahatan adik akan terabai dan perhatian kami beralih kepada adik baru.

Kami tiba di hospital tepat jam 12 malam. Sebaik sahaja stretcher dikeluarkan, bantuan pernafasan segera diberikan. Nadia muntah-muntah dan kelihatannya keadaannya benar-benar kritikal sehingga memaksa doktor menetapkan hanya ibu sahaja yang boleh menemaninya ketika ini. Aku, Iman, Along dan abah menunggu sahaja diluar sehingga kira-kira jam 3 pagi apabila ibu keluar memberitahu Nadia telah tidur dan kami hanya boleh melawatnya pada pagi esok. Kami kembali ke rumah atuk dengan hati yang walang. Tidak kami sangka yang kemeriahan malam lebaran kali ini bertukar menjadi tragedi buat kami. Aku teringat pesanan Ustaz Haidzir yang diambil daripada mafhum hadis Nabi saw: "barangsiapa menghidupkan malam hari raya (kerana ketika itu semua manusia sedang sibuk membuat persiapan menyambut lebaran), nescaya Allah akan menghidupkan hatinya ketika hati manusia lain mati." Namun sayangnya aku tidak dapat menghidupkan malam ini. Mudah-mudahan Allah merahmati kami sekeluarga dengan ujian ini.

Hari-hari yang seterusnya, bagai menjadi rutin buatku dan abah pergi ke hospital setiap pagi dan kami hanya kan kembali ke rumah atuk apabila berakhirnya waktu melawat pesakit iatu ketika menjelang maghrib. Aku gunakan sepenuhnya waktu yang ada untuk menghiburkan hati adik kesayanganku. Kadangkala aku bercerita, mengajaknya mengaji dan bernasyid. Aku tidak ingin dia merasa sunyi dan aku mahu dia memahami bahawa kakaknya yang seorang ini sentiasa menyayanginya. Entah dari mana aku mendapat ilham untuk meminta bantuan sahabat baikku berbual dengan Nadia menerusi telefon bimbitku setiap hari untuk menghilangkan kebosanan Nadia berada dalam lingkungan pesakit dan bau ubat-ubatan yang menyesakkan deria baunya setiap hari. Emak sendiri cukup gembira melihat keadaan Nadia yang telah menunjukkan perubahan sikap yang positif dan dia telah dsitukarkan ke wad pesakit luar, lantas emak menyampaikan ucapan terima kasihnya secara peribadi kepada sahabat baikku itu.

Keadaan ini berterusan selama beberapa hari sehinggalah pada suatu hari aku mendapat kiriman mesej daripada sahabat baikku menuntut agar hubungan persahabatan kami diputuskan. Alasannya kerana ingin memelihara keturunannya pada masa akan datang kerana dia tidak mahu ada seorang insan yang boleh digelarnya 'cacat' dalam keluargaku yang bakal menjadi keluarganya juga. Mulanya memang aku kecewa. Seumur hidupku tidak pernah aku merasa terhina sebegini rupa. Teman, sedarlah bahawa semua ini ketentuan-Nya. Mengapakah hatimu buta menilai keikhlasanku menerima dirimu walau dalam keadaan serba kekurangan? Adikku tidak minta dilahirkan sebegitu…rasanya mahu sahaja aku meluahkan kata-kata ini kepadanya namun segera aku beristighfar. Biarlah aku menjeruk rasa. Pada Allah aku mengadu segalanya kerana aku yakin Allah Maha Adil. Hidup ini bagaikan roda. Suatu hari nanti pasti Allah akan membalas perbuatan biadabnya ini, jika tidak pada dirinya, pada anak-anak dan keturunannya yang lain.

Selepas seminggu, adikku nyata masih belum sembuh walaupun telah dikeluarkan dari wad. Lalu, sebagai ikhtiar terakhir, abah membawa adik manjalani rawatan perubatan secara Islam. Alhamdulillah akhirnya adikku sembuh. Kenduri kesyukuran segera kami adakan. Menurut ustaz yang merawatnya, sebenarnya adikku telah diganggu sejenis jin sejak berbulan lau kerana dia lemah semangat. Inilah penyebab smengapa dia sering diserang sawan dan pengsan di sekolah apabila melihat sesuatu yang menakutkannya. Seharusnya aku merasa bersyukur kerana di sebalik peristiwa ini sebenarnya telah tertulis ketetapan yang lain pula buatku apabila salah seorang pesakit di situ yang merupakan teman berbualku setiap hari rupa-rupanya mengkhabarkan perihal diriku kepada abangnya sendiri sehinggalah pada suatu hari datang beberapa orang lelaki dan perempuan yang tidak kukenali bersama seorang lelaki muda yang kelihatan baik ke rumah bertemu kedua-dua orang tuaku.

Aku sendiri tidak tahu dan seboleh-bolehnya tidak mengambil tahu siapakah gerangannya walaupun ternyata dia telah mencuri hatiku pada pandangan pertama kerana aku tidak mahu kecewa lagi dalam pencarian cinta yang tidak pasti. Akan tetapi, aku tidak dapat mengelak apabila emak dan abah memanggilku agar sama-sama menyertai perbualan mereka di ruang tamu tetapi mereka sudah berpesan agar menanggalkan niqabku. Along, Iman dan adikku Nadia juga kelihatannya amat menyenangi pemuda tersebut. Sekilas dia memandangku dan tanpa diduga, spontan dia menundukkan kepalanya sambil wajahnya merah menahan malu memberitahu hasrat hatinya dalam nada suara yang agak perlahan tetapi jelas terdengar ketegasannya ingin melamarku menjadi permaisuri hidupnya namun hanya selepas aku tamat pengajian nanti. Tanpa sedar, terus aku menutup mukaku dengan akhbar yang terletak di atas meja kerana aku lebih-lebih lagi merasa malu. Tidak pernah terjadi begini sepanjang hayatku.

Hari-hari yang kulalui terasa sunguh bahagia meski tarikh penerbanganku ke bumi Mesir semakin hampir. Lelaki yang datang ke rumah tempoh hari tidak pernah menghubungiku, sebaliknya sering menghubungi orang tuaku, kalau adapun dia menghubungiku sekadar menitipkan tazkirah lewat kiriman mesej-mesejnya. Aku tidak ingin sejarah silamku berulang lagi. Cukuplah ‘cinta jahiliah’ku yang dahulu hanya sekali. Seperti kata imam Syafie rahimullah, “kenikmatan di sisi Allah akan terhalang melainkan dengan ketaatan kepada-Nya”. Aku menggunakan sepenuhnya peluang berada di rumah selepas tamat pengajian diplomaku untuk mengajar Nadia mengurus diri, membaca, menulis dan mengaji sepanjang ketiadaan emak kerana bertugas di pejabat. Bahkan aku dan emak selalu terhibur dengan telatahnya setiap malam ketika kami mengajar anak-anak jiran mengaji kerana walaupun tidak pandai membaca, sering sahaja Nadia berlagak seolah-olah dialah guru kepada rakan-rakan normal yang sebaya dengannya.

Akhirnya perpisahan yang ditakdirkanNya pun tiba. Mulanya aku masih mampu melemparkan semyuman buat sahabat handai dan kaum keluarga yang turut serta mengiringi pemergianku ke ardhil kinanah di KLIA. Namun kolam air mata yang sejak tadi kutahan pecah juga sebaik terpandang wajah adik kesayanganku. Terbayang senda gurau, senyum tawanya dan kegembiraan yang kami harungi bersama sebelum ini. Aku pasti merinduimu adikku. Kau di benua Asia semnetara diriku bakal menjejakkan kaki ke benua Afrika. Untukmu adik kesayanganku, ketahuilah bahawa selagi jasad ini bernyawa, ingatanku padamu akan tetap bernyala dan kasihku padamu tetap tersemat di nubariku yang paling dalam, tidak mungkin terpadam walau hari-hari mendatang tanpamu di sisiku kurasakan suram. Aku mengasihimu bukan kerana apa-apa pun tetapi kerana Dia, Tuhan Pencipta yang telah menganugerahlkan dirumu yang istimewa buatku dan keluarga kita.


* koe ora melok? (bahasa jawa) : kau tak ikut ke?
posted by Admin @ 8:48:00 PTG  
0 Nak Komen? jgn malu2..:
Catat Ulasan
<< Home
 
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com