HOME | DPMM | PEKELILING DPMM | SEJARAH DPMM | GALERI DPMM | BAIT MUSLIM | FORUM DPMM | PMRAM | HEWI PMRAM
Demi Masa
Antologi 10 yg Ku Gelar Cinta
Waktu Solat

Pesanan


Bil Pengunjung

Tahniah! Tahniah!
2008/06/30
Saymebara Cerpen Berunsur Islam Grup Karyawan Luar Negara yang telah berakhir pada 15 April 2008 lalu nyata membawa khabar gembira kepada kita apabila salah seorang ahli AKAR iaitu Nurul Lailati Mahat (Timbalan Pengarah AKAR) mendapat Tempat Kedua melalui cerpennya berjudul "Wahidah dan Secebis Tabah Khalilullah"

Mari kita lihat apa ulasan ringkas para juri tentang cerpen ini:

Saya menangis membaca cerpen ini! (Need I elaborate more?)

Temanya mudah, tetapi jalinan langgam bahasa yang indah dan tersusun menjadikan ia luar biasa. Buat pertama kali sepanjang membaca cerpen-cerpen bertanding, saya tidka merasakan petikan ayat-ayat Al Quran sebagai menempel, sebaliknya memperkukuhkan lagi plot dan jalan cerita, sekaligus menjustifikasikan khalilullah pada tajuknya.

Teknik imbas kembali bijak digunakan, meskipun latarnya jauh dari dewan konvokesyen namun pembaca tidak berasa dilarikan tanpa rela. Selain itu, penulis menggunakan teknik showing, but not telling, terutamanya semasa memperkenalkan Pak Cik Jumari sebagai pengikut ajaran sesat. Satu permainan emosi yang pintar, dan tahniah kepada penulisnya!


Berikut adalah keputusan penuh Sayembara Cerpen Berunsur Islam GKLN:

PERTAMA
Mohammad Umar Aiman Bin Osman (Siddiq Osman) - SUDAN
Judul cerpen: Mengemis di Kota Larangan
Hadiah tempat pertama:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 13 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

KEDUA
Nurul Lailati Mahat - MESIR
Judul cerpen: Wahidah dan Secebis Tabah Khalilullah
Hadiah tempat kedua:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 10 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

KETIGA
Ainaa Mardhiah Suhaimi - MAGHRIBI
Judul cerpen: JIDAL (Jihat Ideologi Duka Andalus Lama)
Hadiah tempat ketiga:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 8 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

Hadiah Penghargaan
Muhaimin Sulam - UNITED KINGDOM
Judul cerpen: Warkah Buat Rabiah
Hadiah penghargaan:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 5 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre

Hadiah Penghargaan
Muhammad Syukri Rosli - AUSTRALIA
Judul cerpen- Usrah di Penarek
Hadiah penghargaan:
1) Cerpen yang berjaya bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008
2) 5 naskhah buku-buku sastera pelbagai genre
Sebaik 5-7 lagi cerpen yang dipilih oleh hakim bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008. Senarai penuh peserta yang berjaya akan diumumkan sedikit masa lagi.

JUTAAN TAHNIAH KEPADA PARA PEMENANG!
Semoga kejayaan ini bakal menggalakkan budaya penulisan khususnya dalam genre cerpen di kalangan para pelajar luar negara.


Laporan penuh para hakim bakal dimuatkan dalam antologi cerpen Grup Karyawan Luar Negara 2008 berjudul 'Mengemis di Kota Larangan'


Tahniah sekali lagi kepada Nurul Lailati. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada beliau khususnya dan ahli AKAR amnya agar terus berkarya demi kelangsungan dakwah Islami.
posted by Admin @ 3:06:00 PTG   0 comments
Tambah Kosa Kata
Assalamualaikum semua. Mari kita sambung kosa kata yang telah dipelajari pada entri lalu.

Daif hina, lemah
Daulat kuasa (raja, kerajaan)
Dayang gadis pelayan di istana
Definisi takrifan, pengertian
Dek geladak (kapal, bot)
Dian pelita yang dibuat daripada lilin
Dibumbui ditambahi, sesuatu unsur yang menyedapkan cereka atau karya
Dikenderai ditunggangi
Dikertangkannya ditangkiskannya
Diksi pemilihan atau penggunaan kata yang tepat dan berkesan
Diktator pemerintahan secara zalim
Dirundung ditimpa

Ego mementingkan diri sendiri
Eksais cukai
Ekstensif luas liputannya
Elemen bahagian, perkara, anasir
Endah peduli, acuh
Estetikanya keindahan atau penghargaan terhadap keindahan (seni)

Fajar sadik menjelang pagi, dinihari
Fana tidak kekal
Fiil kelakuan, perangai
Firasat perasaan hati akan terjadi sesuatu sesudah melihat gejala tertentu

Gajah meta gajah mengamuk atau gila
Gamit lambai
Gejala penyakit, petanda
Gelagak naik marah, bergelora
Gemala batu yang bercahaya dan mempunyai hikmat
Gemerencang bunyi seperti pedang berlaga
Genre kategori, bentuk, jenis (karya sastera)
Geruh malang, sial, nasib buruk, celaka
Geta gading katil raja, takhta
Goyah tidak tetap atau teguh, goyang
Gundah dukacita, sedih hati, sayu
Gundik isteri tidak rasmi

Halilintar petir, kilat
Hukum sula hukuman bunuh dengan menikam dubur hingga ke perut dengan sula
Hulubalang pengawal

Ingar bising
Inovatif sesuatu yang baru
Iras-iras hampir serupa

Jambiah golok, kerambit
Jauhari saudagar (tukang) emas
Jong kapal layar China
Jongkong sejenis perahu yang dilubangi atau ditebuk
Jungornya muncungnya
Juragan nakhoda, ketua kapal atau perahu

Kadam duli
Kamat seruan (selepas azan) untuk memulakan sembahyang
Kamil sempurna, lengkap
Kandil lampu, pelita
Kejamas pencuci rambut, langir
Kekang besi bergerigi yang dikenakan pada mulut kuda
Keti seratus ribu
Khayali khayalan, angan-angan
Kolektif idea yang dimaksudkan oleh sesuatu ungkapan atau perkataan
Kutaha agaknya, rasanya

Lasykar askar, serdadu
Lepau kedai kecil
Lintabung sejenis tumbuhan

Majun ubat herba tradisional yang dibentuk bulat-bulat
Mamanda sebutan oleh raja kepada pembesar-pembesar negeri
Meladeni melayani, mempedulikan
Menabrak melanggar
Mencanai menyesuaikan
Mihrab anjung masjid yang menganjur ke kiblat

Naluri desakan hati
Nuances (nuansa), penggiat, penterjemah
Nyiru alat (dianyam daripada rotan, buluh dan lain-lain) untuk menampi beras

Ocehan omelan, celoteh
Onak duri yang bengkok (seperti kait)
Optimis menaruh harapan baik, yakin

Patriotisme perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air
Pekung mendedahkan keburukan diri, sengaja mencari malu atau susah


Pendahan lembing pendek
Penganan berbagai-bagai jenis kuih dan makanan
Peran pemain sandiwara, badut
Persona orang
Peterana tempat duduk orang yang dihormati seperti raja, mempelai dan
Sebagainya
Pinang kotai buah pinang tua yang dikeringkan

Rebeh terkulai, rebek
Rencong badik
Risi tersinggung, kurang senang

Sahaya abdi, hamba
Sarwajagat bersifat sejagat, universal
Sekah serkah, patah dan jatuh
Sipahi askar India
Sompek sumbing besar, sobek di tepinya
Syahadan pada permulaan cerita

Tandilnya pembantu serangan
Terongong terdengung
Tulah kualat, kutuk, kemalangan yang menimpa akibat melangar larangan

Wahana saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dilakukan
Wawasan pandangan jauh (terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan) bagi mencapai matlamat penting sesebuah organisasi atau negara.

Sekian sahaja pelajaran kita. Untuk lebih kosa kata, anda disarankan agar meluaskan
pembacaan dan rajin merujuk kamus dalam bahasa kita, contoh paling mudah ialah
Kamus Dewan. Perlu diingat, usaha tangga kejayaan!

Label:

posted by Admin @ 2:45:00 PTG   0 comments
Bahasa Kita
2008/06/18
Salam untuk semua. Mari menambah kosa kata dalam bahasa kita.

Abstrak : tidak dapat dirasa atau dilihat dengan pancaindera
Afalnya : sifatnya, perbuatannya, kelakuannya
Ala : secara, menurut gaya
Alah : kalah
Alternatif : pilihan
Aspek : segi, sudut, bahagian
Audiens : para penonton, khalayak
Autentik : asli dan benar, dapat dipercayai

Bahari : dahulu kala
Belasungkawa : pernyataan berdukacita, (ucapan) takziah
Berbasa-basi : bermanis mulut, bersopan santun
Bergiring-giring : mempunyai loceng kecil untuk perhiasan
Bermukah : Berzina
Berpontoh : Bergelang besar yang dipakai pada lengan sebelah atas
Berserama : Bermain gendang serama (bukan ayam serama ya=) )
Bertele-tele : Bercakap tanpa hujung pangkal (meleret-leret), omongan kosong
Busar : Busur (daripada kayu atau buluh) yang dilengkungkan untuk membuat panah.

Candanya : Petinya, kotak tempat menyimpan wang
Cengkok : Bengkok
Ceritera/cetera : Cerita
Citra : Gambaran

Sekian sahaja untuk kali ini. Insya Allah kita akan bertemu di lain kali.

Label:

posted by Admin @ 12:47:00 PTG   0 comments
Kebangkitan Orang Muda Melalui KMM Radikal Berani
(Majalah al-Wasilah, bil 6, Ogos 2000)

Hari ini, saban waktu kita dimomokkan bahawa generasi muda sebenarnya tidak punya peranan dalam pembangunan politik negara. Peranan anak muda hanyalah mentelaah, mengkaji dan belajar, dan biarkan perihal politik serta negara diuruskan oleh golongan yang lebih dewasa.

Ini adalah perkara ‘biasa’ kata mereka dan ia berlaku sejak dulu. Tetapi benarkah begitu? Tidak terdapatkah dalam sejarah generasi muda dibenarkan bersuara dan melahirkan pandangan?

Jika kita menyorot sejarah, contoh-contoh yang akan kita temui menjelaskan sebaliknya. Revolusi Perancis umpamanya dibina di atas mayat-mayat anak-anak muda. Tokoh-tokoh seperti George Danton, Camilles Desmoulins dan Saint-Just terbunuh dalam usia 20-an. Robbespiere sendiri mati dalam usia 30-an, dan Napoleon ketika mengetuai bala tenteranya mara untuk menakluki Mesir, berusia 28 tahun. Melihat contoh yang lebih dekat seperti di India, Indonesia, Burma dan Filipina, kita dapati perjuangan memerdekakan bangsa dan negara bermula dengan ketidakpuashatian anak-anak muda yang kemudiannya bangkit menentang tuan-tuan penjajah di tempat mereka.

Kerajaan penjajah menyifatkan anak-anak muda ini sebagai ‘tidak mengenang budi’ tetapi mereka telah membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah sangat mulia – mahu menjunjung prinsip kebebasan dan keadilan.

Aneh sekali, kita seolah-olah lupa akan sejarah negara kita sendiri. Ahli-ahli politik Malaysia sering menekankan bahawa adalah lebih baik generasi muda menumpukan perhatian pada pelajaran daripada membabitkan diri dengan gerakan reformasi ataupun kerja-kerja memprotes.

Tetapi mereka lupa bahawa kemerdekaan Malaysia sendiri turut diperjuangkan oleh sekumpulan anak-anak muda, yang sanggup melepaskan buku dan terjun ke dalam dunia politik radikal.

Pada 1938, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda Melayu radikal, antaranya Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Onan Haji Siraj, Abdul Karim Rashid dan Sultan Djenain. Dr Burhanuddin al-Helmy, yang kemudian menjadi Presiden PAS, turut menyertainya dalam 1939.

Ibrahim Yaacob menjadi Presiden KMM yang pertama. Naib Presiden ialah Onan Haji Siraj dan setiausahanya, Abdul Karim Rashid. Sultan Djenain pula dikatakan menjadi penghubung antara KKM dengan Parti Komunis Malaya.

Kesatuan Melayu Muda secara umumnya merupakan sebuah persatuan anak muda. Tidak ada seorang pun daripada pengasasnya berusia lebih 30 tahun. Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Yaacob pada waktu itu berusia 28 tahun., sementara Ahmad Boestamam baru berusia 18 tahun ketika menyertainya.

Sebahagian besar ahli KMM merupakan produk pendidikan vokasional British. Kebanyakan mereka terdiri bekas pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris dan Kolej Pertanian Serdang. Agenda radikal KMM diasaskan oleh orang seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam – semuanya penulis dan propagandis perjuangan bangsa.

Matlamat utama pergerakan ini adalah untuk memerdekakan negara dan merapatkan hubungan dengan bangsa Melayu Indonesia. Ibrahim Yaacob dan Burhanuddin al-Helmy malah memiliki gagasan yang lebih besar, iaitu mahu mewujudkan sebuah negara Melayu yang lebih besar, dikenali sebagai Melayu Raya yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Hindia Timur Belanda, Borneo dan Filipina.

Di bawah pemerintahan British budaya politik feudal aristokrat Melayu dibenarkan subur dan mengukuh dalam beberapa cara. Di Malaya dan juga di Hindia Timur Belanda, golongan elit tradisional terbukti berguna bagi rejim penjajah. Di kedua-dua negara jajahan ini, kuasa yang dimiliki golongan konservatif tradisional dapat digunakan untuk membantu kerajaan penjajah menekan sentimen anti-penjajahan yang menyubur di kalangan terpelajar.

Akibat bosan dengan tingkah laku dan karenah golongan tua inilah, maka anak-anak muda radikal KMM membuat keputusan ‘bertindak sendiri’ tanpa sebarang bantuan kewangan dan juga dokongan daripada mana-mana parti, mereka melancarkan pergerakan kebangsaan mereka sendiri untuk menghadapi British, yang pada waktu itu merupakan kuasa terbesar dan terkuat di dunia.

Pada 17 Ogos 1954, pemimpin kebangsaan radikal Indonesia, Ahmad Soekarno dan Muhammad Hatta mengisytiharkan kemerdekaan negara tersebut. Tetapi di Malaya, pemimpin radikal berjaya disisihkan British. Sebelum berundur, pihak berkuasa British berusaha sedaya upaya menonjolkan tokoh-tokoh elit Melayu untuk mengambilalih pemerintahan dan mengetepikan tokoh-tokoh nasionalis dan Islamik yang radikal.

Dalam tahun-tahun berikutnya, Dr Burhanuddin menjadi Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Ahmad Boestamam Presiden Parti Rakyat dan Ishak Haji Muhammad menjadi Presiden Parti Buruh. Ibrahim Yaacob pula menghabiskan sisa hayatnya dalam buangan di Indonesia dan berusaha merapatkan jalinan di antara kedua negara itu.

Apa jua yang diperkatakan mengenai anak muda di Malaysia pada hari ini, kita tidak boleh melupakan tokoh-tokoh yang pernah wujud pada masa silam. Jasa yang pernah ditunjukkan KMM telah menjelaskan sesuatu yang berbeza – pada suatu ketika anak muda Malaysia berupaya dan bersedia menyoal apa yang berlaku di sekitar mereka walaupun pada waktu itu nampaknya semua harapan telah hilang.

Label:

posted by Admin @ 12:46:00 PTG   0 comments
16 Teknik Atasi Tabiat Terburu-buru
Orang yang menghidap masalah terburu-buru biasanya tidak sabar dengan diri sendiri, sentiasa berasa tegang dan menambah burukkan lagi keadaan, mereka selalunya percaya “disebabkan terlalu lama aku menghidap penyakit tidak sabar dan tegang ini, aku mesti merubahnya segera. Aku sudah tidak tahan lagi.”

Akan tetapi, sifat terburu-buru atau tidak sabar yang sebati dalam diri tidak mungkin dapat diubah melalui satu ungkapan ataupun melalui hujah, “aku sudah tidak tahan lagi.” Mendesak supaya perubahan segera berlaku samalah seperti menjerit pada diri supaya tidur di saat mata masih terbelalak dan badan masih berasa segar.

“Rasa terburu-buru” untuk segera mendapatkan sesuatu atau menamatkan sesuatu pekerjaan sebenarnya kebalikan daripada penyakit suka menangguh-nangguhkan sesuatu. Kedua-duanya berpunca daripada ketidakselesaan diri menghadapi rasa tegang atau rasa tidak selesa yang timbul apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

Terburu-buru melakukan sesuatu untuk mengelakkan ketegangan samalah juga dengan menangguh-nangguhkan sesuatu untuk mengelakkan ketegangan. Malangnya, kedua-duanya menghasilkan ketegangan yang lebih dahsyat. Oleh kerana penyakit terburu-buru wujud disebabkan amalan ataupun tabiat, maka untuk merungkainya diperlukan latihan-latihan atau amalan juga.

Berikut adalah beberapa latihan yang ditujukan untuk merungkaikan tabiat suka terburu-buru sewaktu melakukan sesuatu. sila amalkan, mudah-mudahan ia dapat membantu anda memperolehi kehidupan yang lebih ceria.

Jika anda makan menggunakan sudu atau garfu, setiap kali selepas menyuap, letakkan sudu atau garfu yang anda gunakan.

Jika selepas makan anda kebiasaannya terus makan pembasuh mulut seperti buah-buahan atau kuih muih, tangguhkan ia selama 15 minit.

Jika anda merupakan seorang yang suka bercuti, rancang percutian anda dan buatlah tempahan sembilan bulan lebih awal. Kemudian tunggu dengan sabar.

Jika anda pernah membaca sebuah nivel tetapi gagal menamatkannya kerana di pertengahan jalan anda dapati ia tidak menarik, cuba tamatkan membacanya.

Libatkan diri dengan satu hobi yang rumit untuk dilakukan seperti mengukir atau menyulam.

Buat perancangan yang kemas di waktu pagi supaya anda boleh sampai di tempat kerja 15 minit lebih awal daripada biasa.

Jika anda seorang perokok, tangguhkan menghisap rokok di waktu pagi. Hisap setelah anda selesai makan tengahari.

Setiap kali mendapat gaji, tentukan sejumlah wang dan simpan di dalam akaun simpanan anda.

Peruntukkan 15 minit sebelum tidur setiap malam untuk membuat persediaan untuk hari esok.

Luangkan masa selama tiga jam dan bersiar-siarlah di tempat yang biasa anda lawati seperti persekitaran taman perumahan tempat anda tinggal, tasik yang terdekat atau taman bunga berhampiran, tetapi kali ini buat penelitian yang mendalam dan perhatikan perkara-perkara yang sebelum ini tidak pernah anda pedulikan.

Lawati tempat yang sama pada masa yang lain can cuba bandingkan apa yang anda temui kali ini dengan lawatan anda sebelumnya.

Ambil sehelai daun dan buat kajian mengenainya selama satu jam. Tumpukan sepenuh perhatian dan gunakan seluruh pancaindera ketika membuat penelitian.

Buat satu tulisan sepanjang satu muka surat mengenai daun itu dan kemudian kaji semula tulisan itu sebanyak enam kali. Selepas itu, tulis rumusan kajian terakhir anda itu.

Berusahalah datang awal untuk setiap pertemuan. Bawa sebuah buku untuk dibaca bagi mengelakkan anda berasa bosan ketika menunggu.

Sediakan kad ucapan hari jadi untuk kawan ataupun saudara mara anda hari ini dan untuk hari jadi mereka pada tahun depan. Tulis ucapan anda, tandatangan dan masukkan ke dalam sampul surat dan poskan ia dua minggu sebelum tiba tarikh hari jadi mereka.

Sekiranya anda merasakan latihan yang dianjurkan di atas tidak bersesuaian dengan diri anda dan anda mempunyai cara lain atau projek lain yang dirasakan lebih meyakinkan, anda dipersilakan menggantikannya.

Label:

posted by Admin @ 12:44:00 PTG   0 comments
Sastera Kita
2008/06/02
Oleh MOHD ZAKI M NOOR

(Dari Arkib AKAR: dipetik dari Suara Kampus Edisi Johor-SUKEJ, bil.106, 2005)

Saya mengikuti seminar penulisan Kem Latihan Penulis (KELAP) di Rumah Johor pada 27 Mac yang lalu, dan berpeluang melihat pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan mahasiwa dan mahasiswi kita. Tentunya banyak perkara yang boleh dan mampu disentuh, tetapi ingin mengulas kepada beberapa perkara tertentu sahaja.

Sastera kita, di manakah dia?

Saya tidak pasti sejauh manakah kita faham dengan sastera, dan saya sendiri tidak mengatakan bahawa saya sangat arif dalam bidang sastera. Tetapi bagi yang mengikuti perkembangan seminar tersebut mungkin boleh membayangkan serba sedikit tentang sastera, lebih-lebih lagi apabila ia difokuskan secara lumat kepada pembikinan cerpen. Adakah mereka boleh membikin sebuah cerpen atau meminatinya, saya tidak tahu.

Saya tertarik untuk mengulas perkara ini, lantaran menyedari betapa jahilnya sebahagian kita tentang hakikat cerpen. Cerpen bukanlah lapangan untuk melepaskan perasaan sepertimana yang dimajhuli sebahagian kita, dan cerpen bukanlah semata-mata kisah cinta.

Cerpen yang baik sama seperti sebuah artikel ilmiah yang baik. Cerpen yang baik mempunyai sokongan ilmu bantu yang digarap bersama-sama cerita. Cerpen yang baik mengandungi mesej yang berkesan kepada khalayak pembaca, dan dapat menimbulkan kesedaran. Cerpen yang baik menyampaikan perkataan-perkataan baru kepada pembaca, juga menambah thaqafah dalam perbendaharaan dan penguasaan bahasa ibunda.

Bacalah karya-karya agung milik penulis dan sasterawan kita di Malaysia, dan anda akan menyedari bahawa seorang cerpenis juga mempunyai kekuatan sebagai agen penyedar kepada anak bangsa.Cerpen yang bermutu menjadi medan penyampaian ilmu dan thaqafah dalam bentuk yang kreatif – ada watak, ada latar masa, ada latar tempat, ada jalinan plot, ada rangsangan, ada konflik, ada peleraian dan ada kesudahan.

Sesiapa juga gemar membaca cerita, dan cerita yang baik perlu kepada mesej yang baik. Agamawan @azhari @daie tidak perlu lari dari mengetahui sedikit sebanyak kisah sejarah supaya dapat dihikayatkan kepada mad’u (orang yang diseru). Kenapa? Khalayak pembaca meminati cerita, dan cerita juga mempunyai khalayak dan penggemarnya. Mengapa tidak cerpen?

Cerpen kita adalah cerpen berunsur agama. Cerpen berunsur Islam. Garapan ilmu bantu berbentuk thaqafah Islam amat kurang lantaran agamawan kurang arif menulis cerpen. Cerpen ada khalayaknya yang tersendiri, dan khalayak ini perlu diraikan. Banyak cerpen yang tersiar di tanahair kurang berkisar dengan tema agama. Ini berpunca kerana kebanyakan mereka kurang thaqafah dalam bidang itu, dan seharusnya kita yang meladeni thaqafah Islamiahlah yang merebut peluang ini. Menulis kerana Islam, bukankah itu satu tujuan yang mulia?

Sastera kita, di manakah dia?

Walaupun cerpen cuma berputar dalam satu tema, malah perlu digabungjalin dengan babakan peristiwa, digerakkan dengan rangsangan, namun ia cukup padu kerana berjaya memberi kesan. Lihat bagaimana seorang pemuda yang memilih untuk mempertahankan iman daripada memilih untuk mempertahankan cinta dalam cerpen ‘Cinta Sufiah’ karya Akhi Masrawi. Lihat ulasan Nazmi Yaakob tentang qarin dalam cerpen ‘Sufiyyah dan Ruhiyyah Dalam Ramadhan.’ Atau kaji ‘Perjalanan Satu Merpati Baqi’ karya Faisal Tehrani.

Cerpenis-cerpenis kita kebanyakannya tidak menekankan soal babakan. Ada di antara mereka lebih leka dan khayal dengan suara hati sendiri hingga tidak dapat membezakan di antara cerpen dan bingkisan. Cerpen mewajibkan kewujudan watak yang bergerak di satu latar tempat dan di satu latar masa, malangnya dicanai menjadi lolongan suara hati semata-mata. Itu bukanlah cerpen, dan itulah yang kunci silap faham kita selama ini.

Lumati ‘Nenek Negro di Kota Mekah’ karya Faisal Tehrani, dan anda akan melihat sendiri bagaimana cerita itu bergerak dan berjalan di atas latar yang dilakarkan. Saya tidak menafikan berlaku monolog dalaman berbentuk luahan dan suara hati, namun ia tidak mendominasi hingga ke 70 peratus penceritaan, sebagaimana dilakukan oleh segelintir cerpenis kita. Andai ia digarap dalam bentuk monolog dalaman sekalipun, monolohg itu masih menekankan perihal watak dan babakan peristiwa.

Saudara Amiza Khusyri juga pernah menggunakan teknik monolog dalaman dalam ceritanya. Perhatikan ‘Sukma Seorang Ibu’ – ia adalah penceritaan secara monolog dalaman. Tetapi apa yang membezakannya (daripada disalahanggap menjadi bingkisan) adalah penekanan kewujudan watak dan memperkemas babak peristiwa. Bukan monolog dan itulah segalanya.

Sastera kita, di manakah dia?

Sastera bukan suatu yang sia-sia, seperti dakwaan segelintir kita. Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW juga amat menggemari sastera zaman Baginda, dan Baginda pernah meminta supaya ia diperdengarkan. Saidina Umar al-Khattab pernah menyebut : Syair itu ilmu suatu kaum, tidak ada suatu ilmu yang lebih benar daripadanya. Tatkala Umar menasihati anaknya, Abd Rahman beliau berkata: Peliharalah kecantikan syair, maka ia akan memperbanyak peradabanmu.

Sastera, mahukah anda mempelajarinya?

Label:

posted by Admin @ 7:18:00 PTG   0 comments
Layanan Terbalik Ibu Bapa Yang Pelik
Oleh UST HASRIZAL JAMIL
(Dari arkib AKAR: dipetik dari majalah Anis, Dis 2007)


Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil
"Kamu ni tak faham-faham ke? Berapa kali emak nak cakap, emak ni penat!" tengking seorang ibu kepada anaknya. Jari telunjuknya tajam mencucuk-cucuk dahi anaknya yang berusia dalam lingkungan lima atau enam tahun. "Kamu buat apa di sini? Balik!" herdik seorang bapa kepada anak remajanya yang sedang duduk berbual bersama rakan sekelasnya.

Ayat-ayat ini adalah habuan telinga yang biasa mengiringi kita menuju dewasa. Jika tidak diri sendiri yang menjadi mangsa, kawan-kawan di sekeliling biasa mengalaminya.

Entah kenapa, saya cukup tidak tahan melihat ibu bapa yang marahkan anak, terutamanya jika marah itu tidak kena cara. Saya akui, ibu bapa saya bukanlah jenis yang begitu, maka mungkin saya tidak biasa dengannya. Tetapi apakah saya jadi ganjil kerana tidak biasa dengan cara begitu? Sebaliknya yang ‘normal’ itu ialah pada menerima, bahawa itu merupakan cara mendidik anak-anak?

Saya bukan mahu bercakap mengenai wajar atau tidak herdik serta tengking menjadi bahasa pilihan antara ibu bapa dan anak. Tetapi kali ini saya mahu muhasabah tentang ibu bapa yang lupa melihat kekerdilan juga kedewasaan anaknya.

Layan Cara Kecil atau Dewasa

Anak kecil dilayan seperti orang dewasa, anak yang sudah dewasa dilayan seperti budak kecil. Lantas layanan itu hanya akan menyemai bibit benci dan dendam anak-anak kepada ibu bapa.
Apa yang seorang anak berusia lima tahun faham, tentang keletihan dan stress seorang ibu yang baru pulang kerja selepas bergaduh dengan majikan? Seorang anak berusia lima tahun hanya faham satu perkara, iaitu ibu adalah ratu hatinya. Tempat dia mencari perhatian, kasih dan sayang. Maka anak-anak di usia lima atau enam itu mengikut naluri yang betul apabila cuba bermesra dengan ibu dan bapanya. Dia tidak faham keletihan dan kerunsingan seorang ibu dan bapa.

Ibu dan bapa adalah hero mereka. Maka mereka hanya mengharapkan ibu dan bapa yang sentiasa bersedia membantu mereka. Anak-anak itu mahu berkongsi cerita, kisah gurau sendanya dengan kawan-kawan di sepanjang hari persekolahan. Tiba-tiba bapa melenting marahkan anak, "Kamu tidak tahukah aku penat?"

Bagaimanakah akal seorang anak berusia lima tahun menafsirkan herdikan yang begitu?
Sesungguhnya itulah ibu bapa tempang yang belum dewasa dalam menghayati naluri manusia, anaknya sendiri.

Yop kena marah

"Kenapa Yop masam muka ni?" Saya kehairanan. Anak saya bermasam muka sepanjang hari.
Bukan sahaja mukanya masam, gelagatnya pun lain dari biasa. Naurah menjadi mangsa kemarahannya. Apabila ditegur, jadi merampus tidak tentu hala.

Kalau nak diikutkan hati, memang geram. Kita tanya secara baik, dia membalasnya dengan cara sedemikian rupa. Tetapi sebagai bapa atau ibu, kitalah yang sepatutnya sudah cukup berakal untuk mengorek isi hati si anak. Jika seorang pediatrik berhadapan dengan cabaran untuk membantu seorang budak menjelaskan sakit fizikal yang dialaminya, ibu bapa juga harus profesional dalam mengorek masalah anak-anak, terutamanya masalah jiwa dan perasaan. Emosi anak yang gagal diluahkan menjadi penyakit di dalam personalitinya. Janganlah kita sebagai ibu bapa yang menjadi punca virus dan bakterianya.

Semasa Yop berusia sekitar dua dan tiga tahun, dia mudah ditenteramkan dengan dialog. Saya tarik dia masuk ke bilik, bercakap face to face biarpun saya tahu dia tidaklah begitu memahami apa yang saya katakan. Tetapi sesi itu selalu selesai dengan Yop memeluk saya dengan tangisan. Tetapi apabila usianya meningkat dewasa, usaha melembutkan hatinya yang keras menjadi semakin sukar kerana dia sering keras membantu.

"Tadi cikgu marah Yop," anak saya mula mahu bercakap.

"Kenapa cikgu marah?" saya cuba lagi untuk memahaminya.

"Cikgu marah sebab buku Yop kotor. Bukan Yop buat. Naurah yang conteng." Katanya. Bibir memuncung.

"Yop cakap tak pada cikgu, Naurah yang conteng buku Yop?" saya terus bertanya.

Anak saya mengangguk.

"Tapi cikgu cakap buku Yop, Yop la kena jaga," katanya.

Saya tergamam.

Jika cikgu merotan tangan anak saya kerana bukunya diconteng si adik, mampukah anak saya pada usia 5 tahun memahami konsep accountability dan responsibility? Saya rasa anak saya pada usia begitu hanya mampu faham, dia patut dihukum atas kesalahan yang dia buat secara langsung. Maka jika bukunya diconteng oleh Naurah, Naurahlah yang sepatutnya dipukul, bukanya dia. Pada Yop, dia telah dihukum atas kesalahan yang dia tidak buat.

Inilah yang saya maksudkan, anak kecil dilayan macam orang dewasa.

posted by Admin @ 7:15:00 PTG   0 comments
AKAR


AKAR
Akademi ini merupakan salah sebuah unit khas di bawah Unit Penerangan & Penerbitan (UPP),
Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi Mansurah.
Ditubuhkan untuk memberi pendedahan
dalam bidang penulisan kreatif dan non-kreatif,
lukisan karikatur, kewartawanan dan aplikasi multimedia
sebagai wadah dakwah Islamiah.
Keahlian terbuka kepada semua ahli DPMM yang berminat.
Sertai kami hari ini !


Previous Post
Archives
Free Palestin
Links










Download
© 2005 Akademi Karyawan Mansurah Template by Isnaini Dot Com